PEMBELI TELAH MULA KENA BAYAR ANSURAN BANK. ADAKAH RUMAH TELAH JADI MILIKNYA?
PEMBELI TELAH MULA KENA BAYAR ANSURAN BANK. ADAKAH RUMAH TELAH JADI MILIKNYA?
"Saya telah bayar tebus hutang loan penjual dan telahpun kena bayar ansuran bulanan dengan bank. Adakah rumah tersebut telah jadi hak saya?"
Soalan di atas selalu diajukan oleh pembeli rumah kepada para peguam apabila mereka telah mula kena menjelaskan sebahagian ansuran bulanan kepada bank, walaupun ketika itu keseluruhan urusan jual beli masih belum selesai lagi.
Sebenarnya, dari segi amalan guaman hartanah, walaupun pembeli telah terpaksa menjelaskan sebahagian daripada ansuran bulanan pinjaman kepada pihak bank, rumah tersebut MASIH BELUM menjadi milik pembeli secara rasmi.
Kenapa?
▪ Ini kerana pindah milik daripada nama penjual kepada nama pembeli masih dalam proses untuk didaftarkan oleh peguam.
▪ Pembeli kena faham, setelah bayaran tebus hutang pinjaman perumahan penjual dibuat, terdapat beberapa peringkat proses lagi yang perlu dilalui sebelum pindah milik boleh didaftarkan kepada nama pembeli dan bank boleh melepaskan (disburse) keseluruhan pinjaman tersebut kepada penjual.
Peringkat-peringkat tersebut adalah:
✔ urusan menandatangani dokumen melepaskan gadaian,
✔ proses penyerahan geran asal daripada bank penjual kepada peguam,
✔ urusan duti setem pindah milik dan gadaian (adjudikasi)
✔ urusan perserahan dan pendaftaran pindah milik dan gadaian di pejabat tanah
✔ peguam hantar Surat Nasihat (Letter of Advice) kepada bank untuk lepaskan (disburse) pinjaman.
▪ Di pihak bank pula, memandangkan mereka telah melepaskan (disburse) sebahagian daripada pinjaman tersebut, mereka berhak menuntut pembeli membuat bayaran sebahagian daripada ansuran bulanan pinjaman. Perkara ini jelas dinyatakan dalam Surat Tawaran Pinjaman (LO) yang telah ditandatangani oleh pembeli dengan pihak bank.
▪Manakala di pihak penjual pula, memandangkan pindah milik belum didaftarkan dan mereka pun masih belum menerima sepenuhnya bayaran harga jual beli rumah tersebut daripada bank pembeli, penjual berhak untuk tidak menyerahkan milikan kosong rumah tersebut kepada pembeli.
Oleh yang demikian, pembeli masih belum boleh mendakwa yang rumah tersebut telah jadi haknya memandangkan urusan pindah milik dan bayaran baki harga jual beli masih belum dijelaskan sepenuhnya lagi kepada penjual.
Justeru, pembeli juga tiada hak untuk memasuki rumah tersebut atau bercadang ingin menyewakan rumah tersebut kepada pihak lain kerana rumah tersebut masih lagi belum menjadi milik pembeli sepenuhnya.
Inilah undang-undang dan amalan guaman yang perlu difahami oleh semua, sama ada mereka suka atau tidak.
Semua orang yang beli rumah sub-sale inilah juga prosedur yang mereka akan lalui. Jadi banyakkanlah bersabar.
Terima kasih,
Salkukhairi Abd Sukor
Pengerusi
Gabungan Peguam Hartanah Rakyat (GEMPHAR)
Comments
Post a Comment